19/01/2020

Selamat Kembali ke Sekolah Tahun 2020

Hari ini saya sangat teruja untuk kembali ke sekolah, sekolah yang diamanahkan ialah Sekolah Kebangsaan Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor. 15 Disember tempoh hari saya sudah pergi ziarah persediaan awal tahun tampak rancak dan mengujakan.

Dengan Jarak 71 km daripada rumah mengambil kira keberangkalian berlaku kesesakan lalulintas seawal jam 5.00 pagi saya bergerak menuju ke destinasi. Singgah solat subuh di Masjid Kg. Cahaya Masai, pagi yang sungguh mendamaikan di tahun Wawasan 2020. Selesai solat terus bergerak ke sekolah.

Seawal jam 6.20 pagi saya sudah berada diluar pagar sekolah. Hebat! Nampak pagar sekolah sudah terbuka sedia menerima murid kembali ke sekolah dengan kon-kon keselamatan jalan raya yang tersusun membantu mengawal aliran trafik yang bakal sesak.

Saya meletakkan kereta di luar pagar sekolah. Berjalan kaki menuju ke pagar utama sambil memperkenalkan diri kepada pengawal sekolah atas niat dan tujuan.

“Izinkan saya mengambil gambar di pagar sekolah ye”

“Silakan, Tuan ! Guru Besar dah sampai tadi, nak saya panggilkan tak?”

“Eh, xpe! Saya tunggu di sini dulu nak tengok murid-murid masuk sekolah, rindu masa bertugas mengajar dahulu”

Sedang khusyuk mengambil gambar di luar pagar sekolah. Saya disapa oleh seorang ibu dengan uniform PIBK Sekolah, “Cikgu baharu di sini ke?

“Ya…”, Sambil saya menganggukkan kepala.

Tidak sampai seminit saya disapa lagi, “Tuan, dari JPN Johor ya, saya GPK HEM sekolah ni… Selamat datang ke sekolah kami. Sekejap lagi Tuan Guru Besar akan bersama kita” Sambil dia menghulurkan cenderahati untuk diberikan kepada murid-murid bagi meraikan suasana kembali sekolah.

“Oh… ok, terima kasih cikgu” Dalam hati saya berkata, bagus betul sekolah ni siap ada cenderahati untuk rai murid-muridnya.

Tampak GPK HEM tidak kekok menjalankan tugasnya menyambut murid-murid sambil diiring oleh guru besar dan barisan guru serta pengawas sekolah cantik beratur tersusun sambil mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada rakan-rakan mereka dan apa yang menarik ada juga maskot Panda.

Apa yang mengagumkan ibu bapa juga turut sama bertugas menyambut murid-murid yang di ketuai oleh Naib Yang Di Pertua (NYDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Mereka penduduk taman tapi budaya dan kemesraan mereka dengan warga guru seperti adik beradik. Macam suasana di biasa dilihat di felda-felda.

Jam 7.15 pagi, perhimpunan ringkas pagi bermula. Rasa nostalgia duduk di hadapan murid-murid sambil menyanyikan lagu-lagu rasmi perhimpunan, mendengar ucapan nasihat daripada guru besar, mendengar pesanan guru bertugas mingguan. Teringat betul kenangan-kenangan ini semasa bertugas mengajar di Sekolah Kebangsaan Telok Lipat, Endau tahun 2015. Sekejap sahaja dah masuk 5 tahun di bahagian pengurusan pentadbiran ini.

Selesai perhimpunan, saya menyantuni barisan guru-guru yang hebat, majoritinya muda-muda seperti guru besarnya. Ada seorang guru muda yang baru sahaja selesai mendaki Gunung Everest semasa cuti sekolah. Sangat hebat orangnya. Dengan barisan guru muda terasa betul diri ini dah senior. Mau tak senior dah 15 tahun di arena pendidikan ni.

Kemudian apa lagi, ronda-ronda kawasan sekolah, tengok sesi PdPc, tampak semuanya berjalan lancar dengan guru-guru yang sangat bersedia, murid-murid yang tidak sabar-sabar mahu belajar. Pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga sangat bagus dengan suasana kantin dan kaunter RMT macam Bistro.

Secara keseluruhan pemantauan sekolah ini sangat cemerlang dalam pengurusan pentadbiran sekolah serta HEM. Hari ini saya berhajat juga untuk melihat pengurusan ICT dan PSS tapi memandangkan hari pertama sekolah, tidak mahu saya rosakkan momentum postif mereka.

“Cikgu, lain kalilah saya datang lagi tengok yang mana saya boleh bantu sekolah dalam bidang ICT dan PSS. Saya tidak mahu ganggu mood cikgu-cikgu”.

“Terima kasih Tuan, kecil tapak tangan. Nanti jemput datang lagi ya…”

Selesai meronda-ronda dan berbincang berkaitan hal sekolah yang cemerlang semua aspeknya, guru besar membawa ke pejabatnya. Lalu saya menyiapkan dokumen-dokumen pemantauan, berbincang dapatan yang positif dengan persediaan sesi persekolahan 2020 yang hampir sempurna.

Tahniah dan syabas warga Sekolah Kebangsaan Taman Cahaya Masai dan barisan PIBG serta PIBK. Sangat bertuah murid-murid dan komuniti taman di sini. Semoga semunya terus cemerlang di dunia dan di akhirat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *